Mencari Di Mana Keadilan
Bagi saya yang muda belia pada 90-an, pada waktu itu sudah mula terdedah dengan karya seni protes terhadap ketidakadilan sistem. Laungan dan jeritan penyair dan penyanyi jalanan di Masjid India dan Central Market tentang Dasar Ekonomi Baru, kemelesetan ekonomi dan birokrasi jabatan membuka mata saya bahawa ada sesuatu yang sedang berlaku di belakang tabir pentas kehidupan.
Di sebalik slogan indah di kaca TV seperti ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ atau ‘Bersih Cekap Amanah’, saya tidak sedar bahawa rupa-rupanya ada masalah lain. Ada suara yang merasa mereka tertindas dan tertinggal. Ada jiwa yang berasa ketidakadilan berlaku. Ada rakyat berasa dizalimi dan tidak terbela. Saya mula menyedari di sebalik hal manis-manis yang saya baca di surat khabar dan tonton di kaca TV, ada sisi lain yang tidak mereka paparkan. Saya seakan tak percaya perkara seperti itu wujud.
Kerajaan sering membentangkan dasar-dasar mereka yang pro-rakyat. Pelbagai program dirangka untuk membaiki taraf hidup seluruh warga. Berita di TV dan surat khabar sering memaparkan kejayaan kerajaan dengan memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat, menikmati rawatan kesihatan murah serta peluang pekerjaan dan perniagaan yang luas. Masakan masih ada yang tersisih? Ironi sungguh!
Namun begitu, suara-suara yang menuntut keadilan terus ada. Mendengar puisi dan lagu protes menuntut kesamarataan dan keadilan kepada rakyat menyentak naluri ingin tahu saya untuk terus mengkaji apakah benar ada warga yang hak mereka telah dinafikan?
Sistem demokrasi berparlimen Malaysia seperti diketahui, asasnya terdiri daripada sebuah gabungan parti pemerintah yang membentuk kerajaan dan di sebelah satu lagi ialah parti pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang di mana peranan keduanya tetap sama iaitu berkhidmat untuk rakyat.
Dari dua blok ini wujudlah penyokong masing-masing yang membuat saya pening. Ketika penyokong pembangkang mendakwa ketidakadilan terus berlaku dengan menyatakan rakyat makin lama makin susah, nilai mata wang makin susut dan harga barang makin mahal – penyokong kerajaan pula menolak dakwaan itu. Segala hujah tersebut adalah fitnah dan dakyah pembangkang untuk menggugat kestabilan negara, kata mereka.
Kemudian, parti pembangkang pula menang pada pilihan raya berikutnya dan mengambil giliran menjadi kerajaan. Mereka dan penyokong mendakwa di bawah pemerintahan mereka, keadilan telah dilaksanakan. Sementara bekas parti pemerintah yang menjadi blok pembangkang sebab kalah pilihan raya pula menampilkan hujah-hujah bahawa negara semakin parah dan bakal muflis. Kezaliman terhadap rakyat didakwa berlaku. Mereka mendakwa mereka lebih baik sebagai pemerintah sebelum ini.
Bagaimana Mencari Keadilan
Untuk mengetahui keadilan yang sebenar, kita perlu berlaku jujur dengan diri sendiri dengan melihat sekeliling secara rasional. Tanggalkan baju politik kepartian dan dengar betul-betul suara rakyat. Turun ke padang untuk rasai dengan mata kepala sendiri. Pergi ke kaki lima Chow Kit Road tengah malam dan lihat berapa ramai warga tanpa rumah tidur bergelimpangan, siap ada anak isteri lagi. Saksikan sendiri, bukan bercakap soal miskin dan susah tetapi tangan menggeluk cawan kopi yang mewah.
Tidak Ada Keadilan yang Sempurna
Keadilan tidak ada yang sempurna. Kita warga marhaen tetap kena urus hidup kita sendiri. Tetap kena kerja buat mencari makan dan membayar bil sendiri asalkan tak menganiaya dan menyusahkan sesiapa. Itulah keadilan hakiki!
FAQs
* Adakah keadilan ada di Malaysia?
+ Keadilan tidak ada yang sempurna, tetapi kita warga marhaen tetap kena urus hidup kita sendiri.
* Bagaimana mencari keadilan?
+ Kita perlu berlaku jujur dengan diri sendiri dengan melihat sekeliling secara rasional, tanggalkan baju politik kepartian dan dengar betul-betul suara rakyat.
* Apa yang dapat kita lakukan untuk mencari keadilan?
+ Kita warga marhaen tetap kena urus hidup kita sendiri, mencari makan dan membayar bil sendiri asalkan tak menganiaya dan menyusahkan sesiapa.