Sedap sungguh memperleceh kejayaan orang lain
Baru-baru ini saya tertonton video pendek yang lalu di garis masa Facebook berkaitan ucapan seorang pelajar wanita Malaysia di hari graduasinya di salah sebuah universiti terkemuka dunia.
Di pentas graduasi dia bercerita panjang tentang cabaran ditempuhinya sehinggalah dia beroleh kejayaan. Tetapi apabila melihat komen warganet, saya terperanjat dan tertanya-tanya kenapa komen berbentuk perlecehan terhadap kejayaannya terlalu banyak.
Pelik mengapa kita yang tidak kenal dia secara peribadi, dengan hanya menonton video klip pendek itu tanpa segan-silu langsung terus menyindir, mengutuk dan memperlekehkan dia seolah-olah kita ini ahli jawatankuasa penilai rasmi yang punya autoriti untuk mengiktiraf siapa layak dan siapa tidak.
“Eleh! Dapat penaja bolehlah senang-senang berjaya. Tak payah macam orang lain yang terpaksa memikirkan bebanan yuran.”
“Ijazah tinggi pun buat apa kalau kerja makan gaji juga nanti!”
Saya merungut sendiri menyatakan kalau beginilah teruknya komen yang diterima memang wajarlah agaknya wujud akta sakit hati. Patut atau tidak fikiran saya itu?
Kisah Sindrom Popi Tinggi
“Kau pernah dengar Sindrom Popi Tinggi?” tanya kawan saya, Faizal – seorang jurufoto potret yang amat dikenali dalam kalangan artis tanah air.
Saya mengerutkan dahi cuba mengingat. Yang saya ingat istilah itu sama dengan sebuah judul lagu tulisan Loloq dinyanyikan Hattan. Bunga popi seingat saya adalah tumbuhan herba yang dijadikan bahan untuk membuat dadah. Satu lagi, pernah saya baca di dalam majalah Gila-Gila dahulu kartunis Rejabhad yang juga bekas askar menceritakan bunga popi telah dijadikan sebagai simbol peringatan kepada askar yang terkorban pada Perang Dunia Pertama. Selain itu, bunga popi adalah nama sebuah band Malaysia, Flop Poppy. Setakat itu sahaja yang sempat terimbas di kepala saya.
Rupanya, kata Faizal – ‘Tall Poppy Syndrome’ adalah ungkapan popular di negara ‘down under’ (Australia dan New Zealand) mengenai perangai manusia yang suka melecehkan kejayaan orang lain dan merendah-rendahkan pencapaian mereka. Ibarat pokok popi yang cantik bunganya, semuanya mesti naik sama tinggi. Kalau ada yang lebih tinggi ia tak disukai dan selayaknya dicantas.
Perumpamaan Masyhur
Dalam resam hidup kita di tanah bertuah ini, perumpamaan masyhur yang kita digunakan – dan mungkin seiring dengan maksud sindrom popi tinggi ialah kisah ketam dalam bakul. Mana-mana ketam yang cuba memanjat bakul untuk keluar bebas selalunya gagal. Sebabnya ialah ketam-ketam yang berada di dalam bakul, yang tidak mahukan perubahan dalam hidup dan hanya mahu terus diam di dalam bakul akan menarik ketam-ketam yang memanjat ini jatuh semula. Ketam-ketam di bawah tidak senang melihat ketam lain berusaha keras untuk naik. Bagi mereka hendak senang atau hendak susah, hendak hidup atau hendak mati biarlah bersama-sama ‘mereka’ di dalam bakul. Jangan ada yang lebih-lebih!
Penyakit Iri Hatinya
Di tempat kerja, di kawasan tempat kita tinggal dan hari ini di media sosial; perlecehan, jatuh-menjatuh, buli atau cantas-mencantas sentiasa berlaku. Ini berlaku kerana tebalnya sifat iri hati dan kuatnya rasa kedudukan diri tergugat. Bahaya penyakit ini jika berlarutan boleh membawa kepada sabotaj dan penganiayaan.
Kajian mendapati peratusan paling besar menjadi mangsa sindrom popi tinggi ini ialah wanita. Kecemerlangan seorang wanita di tempat kerja membuat pekerja lelaki dengki dan enggan menerimanya. Di situlah berlakunya pemulauan atau gangguan serius. Wanita berjaya juga menghadapi tekanan tersebut dalam kalangan rakan sekerja wanita juga. Teori lainnya pula menunjukkan perlecehan tersebut datang dari kawan-kawan dan dalam kalangan keluarga rapat kita sendiri.
Untuk itu, pada pandangan saya seeloknya kita tidak perlulah terlalu ghairah mempamerkan apa juga bentuk kejayaan kita di akaun media sosial kita kerana mata-mata dengki sentiasa sahaja memerhati. Kita tidak tahu dalam kita seronok menaikkan status, bukan semua ‘friends’ akan suka. Yang menyampah lebih ramai. Bak kata orang, nak buat apa pun biarlah berpada-pada.
“Seeloknya kita ‘up’ cerita-cerita kegagalan kita sahaja sudahlah. Itu orang mesti suka. Manusia kan suka jika kita lebih susah daripada mereka?” kata saya cuba bersarkastik. Kawan saya tertawa kelucuan.
Sedap sungguh memperleceh kejayaan orang lain. Kita perlu lebih bijak dalam menghadapi perangai ini dan tidak perlu terlalu ghairah mempamerkan kejayaan kita di media sosial. Kita perlu mengawal diri kita dan tidak perlu memperlekehkan kejayaan orang lain.
Q: Apa yang dimaksud dengan Sindrom Popi Tinggi?
A: Sindrom Popi Tinggi adalah ungkapan popular di negara ‘down under’ (Australia dan New Zealand) mengenai perangai manusia yang suka melecehkan kejayaan orang lain dan merendah-rendahkan pencapaian mereka.
Q: Siapa yang biasanya menjadi mangsa Sindrom Popi Tinggi?
A: Kajian mendapati peratusan paling besar menjadi mangsa sindrom popi tinggi ini ialah wanita.
Q: Bagaimana kita boleh menghadapi Sindrom Popi Tinggi?
A: Kita perlu lebih bijak dalam menghadapi perangai ini dan tidak perlu terlalu ghairah mempamerkan kejayaan kita di media sosial. Kita perlu mengawal diri kita dan tidak perlu memperlekehkan kejayaan orang lain.